Nilai, 6 April.   Seramai 9 orang pelajar Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains (KSP) dan pelajar Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi (KSF), Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mencapai penarafan Merit (Aras Lanjutan) dalam Kuiz Kimia Kebangsaan, K3M 2020.

Program tahunan anjuran Institut Kimia Kebangsaan, IKM ini telah disertai oleh pelajar Tamhidi buat kali pertama dengan penyertaan sebanyak 20 orang. Kuiz Kimia Kebangsaan, K3M telah dilangsungkan pada 16 Januari 2021, setelah ditangguhkan daripada tarikh asal iaitu 5 November 2020 akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berlangsung pada waktu itu.

Program ini mendapat sambutan yang baik oleh semua peserta. Memandangkan kuiz ini dijalankan selepas peperiksaan akhir semester 1, pelajar berpeluang mempersiapkan diri dengan menelaah silibus pelajaran Kimia bagi semester 2, dengan bantuan daripada guru-guru Kimia Pusat Tamhidi. Pada 16 Januari, pelajar-pelajar ini menduduki kuiz ini secara online dari kediaman masing-masing.

Pada 10 April 2021, sijil penyertaan dan sijil penarafan Merit telah diterima oleh pejabat Pusat Tamhidi. Memandangkan pelajar masih berada di kampus, suatu sesi penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Penyelaras Program Sains Pusat Tamhidi, Dr Muhammad Mus’ab Anas bin Mohd Anas di Dewan Tuanku Canselor, bersamaan dengan tarikh peperiksaan MUET sesi 1 tahun 2021.