Kuala Nerus, 24 Februari – Pertandingan Inovasi Antara Asasi Malaysia (PITRAM) 2025 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada 23 Februari 2025 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu. PITRAM merupakan acara tahunan di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Pusat Asasi Universiti Awam yang menghimpunkan bakat inovatif dari seluruh institusi asasi di Malaysia.

Pada tahun ini, Pusat Tamhidi telah menghantar penyertaan sebanyak 19 pasukan terdiri daripada 14 kumpulan pelajar dan 5 kumpulan staf. Daripada keseluruhan 361 penyertaan dari 36 institusi, Pusat Tamhidi telah melakar kejayaan  cemerlang dengan memperoleh 7 pingat emas, 6 pingat perak dan 1 pingat gangsa bagi kategori pelajar. Antara projek yang berjaya meraih pingat emas ialah Stiker-Bili: Solusi Mudah Pantau Jaundis di Rumah, POTEN: Pasu Biodegradasi Pilihan Lestari, Dobi Pintar, Peti Sejuk Dinamik, FIRDAUS: Kit Nombor Asas Arab Hijau Lestari, MiFitSensasi: Formulasi Mi Dengan Ekstrak Daun Belalai Gajah dan Paip Sifar Banjir.

Lebih membanggakan, Pusat Tamhidi turut menerima Anugerah Projek Paling Kreatif dan Inovatif Kategori Pelajar (Inovasi Idea) menerusi projek Stiker-Bili: Solusi Mudah Pantau Jaundis di Rumah. Projek inovatif ini dibangunkan oleh sekumpulan pelajar berbakat, iaitu Nur Aleeya Syahirah Mohd Syahir, Siti Naziroh Muhammad Naziri, Nurul A’fiifah Shamsuddin, Nik Aliah Hanan Mohd Sharipudin, Wan Nor Azira Wan Abdullah dengan bimbingan mentor mereka, Dr. Nurul Jannah Abd Rahman. Mereka berjaya membawa pulang hadiah berupa plak penghargaan serta cek cura bernilai RM1,500.

Bagi kategori staf, Pusat Tamhidi turut mencatat pencapaian membanggakan dengan merangkul 1 pingat perak dan 4 pingat gangsa. Kejayaan ini membuktikan bahawa Pusat Tamhidi bukan sahaja melahirkan pelajar yang inovatif, malah barisan staf akademiknya juga komited dalam mencipta solusi berinovasi untuk manfaat masyarakat.

Tahniah diucapkan kepada semua peserta atas pencapaian cemerlang ini! Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus mencipta inovasi yang mampu memberi impak positif kepada dunia.

anugerah_khas kategori_A kategori_B kategori_C