Buat julung kalinya Pertandingan Debat Inter Asasi Universiti Awam 2021 diadakan pada 26-29 Mac 2021 secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19. Pada tahun ini Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Majlis Dekan/Pengarah Pusat Asasi Universiti Awam Malaysia menjadi urusetia dalam penganjuran pertandingan debat yang berprestij ini. Sebanyak 53 pasukan serta 212 orang peserta dari pelbagai Pusat Asasi dan Matrikulasi menyertai pertandingan ini. Majlis Perasmian Penutup telah dirasmikan oleh Naib Canselor USIM Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.
“Penguasaan kemahiran pengucapan awam adalah amat penting untuk memastikan ucapan, pembentangan atau penyampaian sesuatu kerja dilaksanakan dengan berkesan dan efektif. Penglibatan pelajar di dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan berupaya memberi pendedahan kepada pelajar dalam berkomunikasi bagi meningkatkan keyakinan untuk menempuh alam pekerjaan selepas tamat pengajian mereka” kata Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya.
Keputusan pertandingan menampilkan johan kategori Bahasa Melayu dimenangi oleh Pusat Asasi Universiti Malaya (A), dan pendebat terbaik dimenangi oleh saudara Shah Iqbal dari Pusat Asasi Universiti Malaya (A). Manakala Johan Kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh Kolej Matrikulasi Johor (A), juga Pendebat terbaik akhir bagi kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh saudara Imran Zamil Najwah dari Kolej Matrikulasi Johor (A). Johan pertandingan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, sijil penyertaan dan cenderahati. Tahniah diucapkan!