Nilai, 12 Jun 2021. Satu Majlis membaca surah Yassin beramai-ramai dalam kalangan kakitangan dan pelajar-pelajar Tamhidi pada jam 8.30 malam telah diadakan secara maya melalui aplikasi MSTeams. Program ini diadakan bagi para pelajar Pusat Tamhidi yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester 2 bermula pada 21 Jun sehingga 2 Julai 2021 secara dalam talian sepenuhnya. Peperiksaan akhir ini adalah penting bagi para pelajar untuk menentukan hala tuju mereka di peringkat ijazah Sarjana Muda nanti. Majlis dihadiri oleh Pengarah Tamhidi, Yang Berbahagia Prof Madya ChM Dr Juliana Jumal, Timbalan Pengarah Tamhidi, Ust Mohd Naser bin Mohd Sabri, Yang Berusaha Ust Wan Amir Nudin bin Wan Ishak, kakitangan akademik Pusat Tamhidi serta seramai 250 orang pelajar. Program ini dianjurkan bersama-sama dengan Jawatankuasa SPT dan HEP Pusat Tamhidi yang dipengerusikan oleh wakil pelajar, Faateh Afnan bin Yaacob. Bacaan Yassin diketuai oleh Ust Ahmad Asyraf Mat Ali, manakala bacaan doa disempurnakan oleh Ust Mohamad Syukri Yazid. Sejurus selepas bacaan doa, sedikit pengisian motivasi telah disampaikan oleh mantan Penyelaras Sains Tamhidi, Dr Muhammad Mus’ab Anas bin Mohd Anas. Program ini disudahi dengan seruan kepada ahli majlis bagi menunaikan solat Hajat secara bersendirian di kediaman masing-masing sejurus bersurai dari MSTeams. JK Barakah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.