Nilai, 8 Mei 2021. Satu Majlis Khatam Al-Quran telah berlangsung pada jam 11.00 pagi di kediaman masing-masing melalui platform MSTeams. Majlis ini dihadiri oleh Yg Bhg Pengarah Pusat Tamhidi, Prof Madya ChM Dr Juliana Jumal, Timbalan Pengarah Pusat Tamhidi, Ust Mohd Naser Mohd Sabri, Ketua Jawatankuasa Barakah, Ust Wan Amir Nudin Wan Ishak, dan guru-guru Pusat Tamhidi yang terlibat dengan tadarus Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

 

Tentatif Program Khatam Al-Quran Pusat Tamhidi 1442H

11.00 pagi: Kata-kata Aluan daripada Ketua JK Barakah

11.15 pagi: Majlis Khatam bermula

11.50 pagi: Bacaan Doa khatam

12.00 tengah hari: Tazkirah oleh Ust Ahmad Asyraf Mat Ali

12.30 petang: Ucapan Pengarah Pusat Tamhidi

1.00 petang: Tamat

 

Intipati Tazkirah:

Kita perlulah bertaubat, berazam untuk memperbaiki diri. Allah menerima taubat dan menerima ampuan segala bentuk dosa. Tanda Allah menerima taubat seseorang, individu itu berubah kepada lebih sensitif, khusyuk dalam ibadah, dapat mengawal lidah daripada berkata dusta, tiada rasa hasad dan dengki sesama manusia. Hatinya lebih tenteram dan tenang, lebih mudah bersedekah, akhlak lebih baik, jaga penampilan dan aurat serta berterusan memperbaiki diri. Ust Ahmad Asyraf Mat Ali berpesan juga supaya jangan kita tergolong dalam golongan mereka yang rugi setelah berjumpa Ramadhan di mana Allah SWT belum mengampunkan dosanya. Ramadhan adalah bulan yang mulia, tidak sama dengan bulan-bulan lain. Yang dialami oleh golongan tersebut, berpuasa hanyalah lapar dan dahaga semata-mata. Golongan-golongan ini dibincangkan dengan jelas oleh pentazkirah, Ust Ahmad Asyraf Mat Ali.

 

Setelah berakhirnya tazkirah, majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah Pusat Tamhidi, Prof Madya ChM Dr Juliana Jumal.  Prof Madya ChM Dr Juliana Jumal merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT atas keizinan-Nya majlis secara maya dapat dilaksanakan. Pengarah menyambut baik atas anjuran majlis ini, bagi menambah minat para staf Pusat Tamhidi untuk membaca Al-Quran. Beliau juga menyampaikan tahniah kepada JK Barakah atas penganjuran majlis dan program ini.  Ramadhan kali ini amat memberi makna kepada beliau terutama apabila menyertai tadarus dan dibimbing oleh para ustazah yang berpengalaman. Ini merupakan satu bentuk rezeki bagi Prof Madya ChM Dr Juliana Jumal. Pengarah juga mengajak para hadirin bersama-sama kita merebut peluang di saat akhir Ramadhan dengan melipat gandakan ibadah kita. Beliau menyudahi ucapan beliau dengan mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.