Nilai, 10 Mac.   Tamhidi Syariah dan Undang-Undang (TSU) Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menjuarai keseluruhan dalam pertandingan bahasa Arab Yalla Arabiyyah 2020 yang telah diadakan di Dewan Tuanku Canselor (USIM) pada 6 Mac yang lalu.

Program tahunan ini telah memasuki edisi kelima sejak mula dianjurkan pada tahun 2016. Keseluruhan 6 acara telah dipertandingkan iaitu pertandingan Kalam Jamai, video pendek, satu minit berbahasa Arab, poster, nasyid dan kuiz bahasa Arab.

Program ini mendapat sambutan yang baik oleh pelajar dan memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat dalam pertandingan yang dianjurkan. Ia telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Tamhidi, Puan Alifah Hj Hamid. Menurut beliau, program ini sangat bermanfaat kepada pelajar. “Di samping dapat meningkatkan kemahiran berbahasa, pelajar juga dapat mengaplikasikan penggunaan teknologi melalui pembikinan video pendek, semangat kerjasama dalam kumpulan, serta kemahiran insaniah yang lain”, tambah beliau.

Program ini juga berjaya menarik minat peserta untuk mempelajari bahasa Arab. “Program ini dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari bahasa Arab disamping meningkatkan motivasi untuk bertutur dalam bahasa Arab”, berkata salah seorang peserta program, Nur Afifah Lubis. Tambah beliau, menerusi program ini juga, pelajar dapat menambahkan kosa kata yang baru.

Menurut Muhamad Irfan, juga salah seorang peserta program, beliau tidak menafikan akan kesukaran bahasa Arab, namun dengan kewujudan program seperti ini mampu membantu pelajar. “Sejujurnya bahasa Arab itu sukar, tetapi apabila program seumpama ini diadakan, sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan berbahasa Arab bersama rakan-rakan”, ujar beliau.

“Harapan saya adalah program ini dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang, program ini dapat memupuk semangat cinta kepada bahasa Al-Quran” tambah beliau.